Saturday, September 5, 2009

~KERANA WANITA INGIN DIMENGERTI~

"Berbuat baiklah terhadap para wanita kerana wanita diciptakan dari tulang rusuk. Sesungguhnya sesuatu yang paling bengkok ialah bahagian atas tulang rusuk. Jika engkau meluruskannya, engkau akan mematahkannya. Jika engkau membiarkannya bengkok, ia akan tetap bengkok. Oleh kerana itu, berbuat baiklah kepada wanita." (Sahih Muslim)

Menjelaskan hadis Rasulullah S.A.W ini, seorang penyair berkata:
"Wanita adalah tulang rusuk yang bengkok dan tidak engkau luruskan. Ketahuilah, meluruskan tulang rusuk bererti mematahkannya. Apakah engkau mengumpulkan kelemahan dan kekuatan pada seorang pemuda, di mana kelemahan dan kekuatan itu bukan hal aneh?" (Khalil Jam'ah dan Muhammad bin Yusuf ad Dimasyqi Ahmad dalam Istri-istri Para Nabi, Darul Falah, 2007)

Dalam sebuah hadis yang lain baginda juga bersabda: "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu, terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik." (Sahih al-Bukhari)

Pada ketika yang lain, baginda mengulangi: "Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya." (Sahih al-Bukhari)

Dalam hadis-hadis di atas, Rasulullah S.A.W membuat perumpamaan "wanita seperti tulang rusuk" bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan wanita tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian, layanan dan didikan yang baik kepada wanita, serta berlaku lembut lagi hikmah dalam menjaga hati mereka.

Anas bin Malik menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budah hamba yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta-unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah S.A.W memperingatkan: "Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu  adalah botol-botol kaca." Perawi hadis ini, Abu Qilabah berkata: "Maksud botol-botol kaca itu ialah wanita." (Sahih al-Bukhari)

Dalam hadis di atas Rasulullah S.A.W menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif dari segi perasaan. Baginda menyebutkan wanita umpama "botol-botol kaca yang mudah pecah", yakni mudah sedih dan tersinggung jika tidak dijaga dan diberi perhatian yang sewajarnya.

Wanita sebagai manusia telah diciptakan oleh Allah SWT, sebagai makhluk yang lemah, yang perlu dibimbing dan dilindungi. Dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas harian, mereka takkan terlepas dari melakukan kesilapan kerana fitrah manusiawi seorang wanita. Sudahlah lemah, jalan fikirnya sangatlah mendalam serta panjang sekali, complicated, dan sering kali tindak tanduknya dikuasai oleh emosi yang kadang kala tidak stabil.

Selamilah lubuk jiwa wanita, bertolak ansur dan berlapang dada dalam menyelesaikan konflik, berlemah lembutlah dengan wanita sesuai dengan lemah lembutnya sifat seorang wanita. Didiklah wanita sesuai jiwanya sebagai wanita, jangan sesekali mendidik atau membetulkan wanita dengan cara didikan yang sama untuk lelaki yang kuat dan keras, sekalipun seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya.

Islam tetap memberi garis panduan kepada para suami untuk mendidik, sedangkan untuk memukul seorang isteri yang nusyuz juga mempunyai syarat-syarat pukulan yang digariskan syariat. Bersabarlah terhadap bengkok akhlak para wanita dan lemahnya akal mereka. Janganlah membenci tanpa sebab dan janganlah terlalu mengharapkan mereka agar terus lurus semahunya.

Ketika mentafsirkan ayat berikut: "Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka" (An-Nisa 4:34), Imam Ibnu Kathir berkata:
"Ayat ini menerangkan bahawa lelaki adalah pemimpin kepada wanita, iaitu dia sebagai pemimpin, pembesar dan penguasa serta pendidik bagi mereka, ketika terjadi kebengkokan pada wanita itu. Ini kerana Allah SWT telah memberikan keutamaan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita) iaitu lelaki lebih utama dari wanita dan lebih baik. Oleh kerana itulah kenabian dikhususkan kepada kaum lelaki. Demikian pula kekuasaan agung berdasarkan hadith Nabi S.A.W.: "Tidak akan beruntung sesuatu kaum jika mereka menyerahkan urusan pemerintahan mereka kepada seorang wanita." (Riwayat al-Bukhari)

Selain ayat 34 di atas, Surah an-Nisa' juga mengandungi beberapa peringatan kepada kaum lelaki dan suami agar berlaku baik dan sabar terhadap kekurangan dan kelemahan wanita dan isteri, serta suruhan untuk menggauli isteri dengan cara yang sebaiknya. Allah berfirman: "Dan bergaullah kalian (para suami) dengan mereka (para isteri) secara patut." (An-Nisa' 4:19) "Kemudian bila kalian tidak menyukai mereka maka bersabarlah kerana mungkin kalian tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." (An-Nisa' 4:19)  

Mudah-mudahan lelaki yang banyak bersabar atas sikap para wanita dikurniakan ganjaran dan kelebihan oleh Allah SWT. Maafkan kami atas segala kekurangan dan kelemahan, maafkan kami para wanita hari ini sekiranya tidak mampu sekuat isteri-isteri para nabi dan para sahabiah dalam berjuang.

Apa yang kami pinta ialah bimbinglah kami agar kami dapat melangkah dengan keyakinan dan semangat kuat di jalan istiqomah, agar kami dapat menjadi insan solehah dalam perilaku dan pemikiran, agar keimanan dan ketakwaan kami sentiasa dipelihara. Janganlah mengaibkan kami dalam keadaan bengkok dan janganlah berlebihan sehingga kami patah.

Petikan dari Majalah I, Ogos 2009, Nota Muslimah, Farhani Azizan, Kerana Wanita Ingin Dimengerti

Sebagai renungan dan panduan untuk kita bergelar muslimah solehah... Insya-Allah...

No comments:

Post a Comment